MENU

 

PERUTUSAN YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Perak Aman Jaya dan Salam Manjungku Makmur, Bandar Pelancongan dan Maritim.

Terlebih dahulu, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan kudrat, iradat dan inayah-Nya, kita diberi kesempatan untuk bertemu lagi pada tahun 2017 ini.

Alhamdulillah, MPM telah mengharungi tahun 2016 dengan jayanya dan memperoleh banyak pengalaman yang dijadikan sebagai penandaarasan dalam memperkasakan lagi kualiti sistem tadbir urus MPM.

Sepanjang tahun lalu, MPM telah menunjukkan prestasi yang membanggakan sehingga merangkul pelbagai kejayaan seperti Johan Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT) sempena Sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Perak dan penarafan 5 bintang Anugerah Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti.   Momentum kecemerlangan ini seharusnya dipertingkatkan pada masa hadapan selari dengan misi MPM iaitu komited memberikan perkhidmatan berkualiti, telus dan efisien ke arah perbandaran yang kondusif, selamat dan harmoni berteraskan pembangunan mampan.

Justeru, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan komuniti perbandaran Manjung di atas kolaboratif dan sumbangan idea dalam memantapkan lagi sistem pengurusan MPM.  Selain itu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak kerana sentiasa memberi peluang, khidmat nasihat dan sokongan kepada MPM untuk melaksanakan pelbagai transformasi dan penambahbaikan demi kesejahteraan rakyat.

Bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan pada tahun 2017, MPM mempunyai pelbagai perancangan yang komprehensif termasuk akan terus melaksanakan pelbagai  tindakan yang telah ditetapkan di bawah Pelan Transformasi MPM : PBT di Hati Rakyat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam semua aspek dan mewujudkan suasana persekitaran hidup yang lebih kondusif, lestari dan memberikan kesejahteraan kepada masyarakat setempat.

Akhir kata, saya juga ingin memanfaatkan peluang ini bagi mengalu-alukan kunjungan masyarakat dari serata negeri dan seluruh negara ke daerah Manjung yang mempunyai pelbagai lokasi pelancongan menarik sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Sekian, terima kasih.

(Dato' Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip, DPMP.,PMP., AMP.)
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Manjung.