MENU

PROGRAM PEMUTIHAN PENGUBAHSUAIAN BANGUNAN

DAN BINAAN TAMBAHAN UNIT KEDIAMAN

 

Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan melaksanakan Program Pemutihan Pengubahsuaian Bangunan dan Binaan Tambahan Unit Kediaman bagi menyelesaikan masalah pembinaan bangunan tambahan dan pengubahsuaian yang tidak mematuhi garis panduan MPM.  Pelaksanaan program adalah secara berperingkat selama 4 tahun iaitu mulai 1 Disember 2016 sehingga 31 Disember 2020.

 

Melalui program ini, MPM akan turun padang ke lokasi bagi mengenal pasti pengubahsuaian dan tambahan bangunan unit kediaman yang dilakukan oleh pemilik premis di kawasan perbandaran Manjung  sama  ada mempunyai kelulusan MPM atau sebaliknya.   

 

Bagi pengubahsuaian dan tambahan bangunan dalam kawasan lot yang tidak mempunyai kelulusan, pemilik premis akan diberi  penerangan dan Borang Aku Janji sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pelaksanaan program ini.  Bagi pemilik yang bersetuju, MPM akan menguruskan penyediaan pelan pengubahsuaian dan tambahan dengan dikenakan bayaran yang lebih rendah berbanding penyediaan biasa melalui pelukis pelan.

 

Manakala bagi pemilik yang tidak bersetuju dengan program ini dan bagi binaan di atas tanah rezab, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 70 (11),  Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).  Jika disabitkan kesalahan, pemilik boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 25,000 dan denda tambahan  RM 250 bagi tiap-tiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas sabitan.

 

Sehubungan dengan itu, MPM menyeru kepada semua pemilik premis supaya mengambil peluang ini kerana pelaksanaannya memberi pelbagai manfaat yang antaranya ialah memastikan semua pembinaan mendapat kelulusan MPM serta memudahkan proses jual beli, cagaran bank, tuntutan insurans dan sebagainya.