Pindaan Senarai Nilaian

Bagaimanakah Pindaan Senarai Nilaian boleh berlaku?

Mengikut Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171) seksyen 144 pindaan boleh dibuat atas alasan berikut:

  1. Pegangan berkadar yang sepatutnya telah dimasukkan dalam atau ditinggalkan dari Senarai Nilaian telah ditinggalkan dari atau dimasukkan dalam Senarai Nilaian, mengikut mana-mana yang berkenaan, atau sesuatu pegangan berkadar telah dinilaikan dengan tidak mencukupi atau dengan berlebihan atau kerana apa-apa jua sebab lain,sesuatu pegangan berkadar telah tidak dimasukkan dalam Senarai Nilaian itu.
  2. Apa-apa bangunan didirikan, diubahsuai, diubah, diruntuhkan atau dibina semula, atau lain-lain kemajuan dibuat pada sesuatu pegangan berkadar,nilainya telah dinaikkan.
  3. Apa-apa bangunan atau bahagian sesebuah bangunan diruntuhkan atau apa-apa kerja lain dijalankan diatas pegangan berkadar, nilainya telah diturunkan.
  4. Apa-apa pegangan berkadar yang telah dimasukkan dalam suatu nilaian bersama dan yang pada pendapat Pegawai Penilai sepatutnya telah dinilai secara berasingan atau selainnya.
  5. Dikeluarkan apa-apa hak milik baru mengenai sesuatu pegangan.
  6. Apa-apa perubahan pada pegangan berkadar disebabkan oleh mana-mana undang-undang berhubungan dengan perancangan, yang mengakibatkan nilai pegangan itu naik atau turun.

Pegawai Penilai juga boleh pada bila-bila masa meminda Senarai Nilaian itu dengan sewajarnya dan kadar hendaklah kena dibayar mengenai pegangan yang berkenaan itu mengikut Senarai Nilaian yang dipinda sedemikian.

Satu Notis Kenyataan Pindaan Senarai Nilaian di bawah Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171) seksyen 144 akan di kemukakan kepada pemilik harta/ pegangan untuk memaklumkan Nilai Tahunan baru yang akan dikuatkuasakan.

Apakah Notis Kenyataan Pindaan Senarai Nilaian ?

Merupakan notis yang dikeluarkan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh cukai dikuatkuasa bagi memaklumkan Nilai tahunan bagi sesebuah harta terlibat dengan pindaan baru ditentukan dan akan dikuatkuasakan.

Apakah peranan pemilik selepas menerima Notis Kenyataan Pindaan Senarai Nilaian?

Bagi pemilik yang tidak berpuashati boleh mengemukakan bantahan secara bertulis kepada pihak Majlis dalam tempoh yang ditetapkan dan setiap bantahan yang layak akan didengari sendiri oleh pihak Majlis melalui Mesyuarat Jawatan kuasa Mendengar Bantahan.

Bantahan boleh dibuat atas alasan-alasan seperti;

  1. Harta/ pegangan dinilai lebih daripada sepatutnya.
  2. Harta/ pegangan yang dinilai tidak boleh dikenakan cukai taksiran.
  3. Harta/ pegangan tertinggal dan tidak dinilai.
  4. Harta/ pegangan dinilai kurang dari kadar yang sepatutnya.
  5. Harta/ pegangan dinilai secara bersama/ berasingan yang sepatutnya dinilai secara lain